Pengikut

Khamis, 30 Julai 2009

Bacalah catatan-catatan ISA ini.......

TERIMA KASIH ISA – BUNGA DARI KAMUNTING

isa(Sudah lama saya mencatatnya tetapi tidak pernah saya paparkannya. Buku saya: Bunga dari Kamunting: Terima Kasih ISA!, terus tersimpan. Sebulan yang lalu, seorang Dato’ meminta pandangan saya tentang ISA untuk dijadikan bahan kajian dan bukti hujah. Saya tidak segera memberi respons… justeru pengalaman sendiri hakikatnya bersifat “khusus” – yang tidak mungkin boleh dijadikan kayu ukur untuk “menghukum” sesuatu yang bersifat umum. Saya memilih untuk berdiam diri. Bukan tidak berpendirian, tetapi itulah pendirian saya (buat masa ini).

Saya terdiam. Lama bertafakur. Mencari jawapan dari pelbagai ulama dan intelektual Islam. Akhirnya saya mengambil sikap tawakkuf – berdiam sambil terus berusaha mencari ketepatan jawapan, bila ditanya ISA itu masih relevan atau tidak. Biarlah saya bersalah kerana tidak menghukum daripada bersalah akibat tersalah hukum. Ini bukan soal personal, tetapi soal prinsip yang melibatkan keadilan dan kesaksamaan hak sesama manusia di neraca KEADILAN Allah!

Namun, masih banyak yang boleh saya kongsikan apabila ditanya tentang ISA. Bukan sisi “halal” atau “haram”nya, tetapi sisi tarbiah dan ibrahnya. Ya, mungkin satu ketika nanti akan tiba juga masanya untuk saya luahkan segalanya. Tetapi buat masa ini biarlah hanya cacatan di bawah (yang dibuat 10 tahun yang lalu) menjadi pendulu bicara saya dalam Bunga Dari Kamunting: Terima kasih ISA!” Saya berdoa, kita yang hakikatnya masih dan terus sering “terpenjara” dalam mazmumah diri dapat mengutip cebisan tarbiah darinya.)

Telah ditakdirkan pada saya untuk melalui satu pengalaman yang unik. Maksudnya, bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman itu. Dan mungkin tidak ada siapapun yang mahu melaluinya sekalipun ditawarkan. Tetapi hidup adalah misteri yang sering memaksa kita menjangka sesuatu yang tidak dijangka. Saya telah ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Inilah detik hitam dalam hidup yang sama sekali tidak saya jangkakan.Setiap manusia pasti melalui saat itu. Bagaimana gah pun seseorang, pasti sekali dia ‘terkena’. Bahkan selalunya mereka yang pernah melalui saat seperti itulah yang akan berjaya. Sengatan peristiwa hitam sangat menyakitkan tetapi jika dapat dihadapi dengan baik ia menjadi seumpama suntikan imunasi yang menjadikan seseorang kebal dari sebarang kekecewaan. Ramai yang mula melonjak naik setelah ‘terkena’…. Bahkan sampai ada yang beranggapan, untuk menjadi manusia berjaya, seseorang mesti melalui satu peristiwa sangat pahit dalam hidupnya.Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh pegawai penyiasat ketika saya mula dibayangkan akan dihantar ke KEMTA (Kem Tahanan Kamunting). Waktu itu saya mula membayangkan hidup 2 tahun, terasing kesepian. Mampukah saya? Saya beristighfar berkali-kali. Namun pegawai penyiasat saya berkata, “rilekslah… baru kena 2 tahun. Bukannya hukum gantung.” Saya tak pasti apakah dia juga akan rileks kalau dia yang berada di tempat saya. Saya juga tidak pasti apakah dia bercakap untuk menasihati saya atau sekadar ingin menyedapkan hati saya…. Tetapi yang pasti saya mendapat satu kekuatan dan cabaran untuk menghadapi realiti setelah mendengar kata-katanya.

Mulai hari itu saya sudah mula membiasakan diri dengan nama Kamunting. Sedangkan sebelumnya, mengingatnya pun sudah semacam satu kengerian. Sebelum ke Kamunting, saya sudah dibayangkan keadaan, cara hidup, kemudahan dan ‘keselesaan’ hidup di sana. Bermacam-macam yang saya dengar. Boleh beli makanan yang bermacam-macam di kantin, boleh belajar, memasak, bermain dan ‘bersama’ isteri dalam jangka masa yang boleh dirundingkan. Wah, meriah sungguh hidup di Kamunting. Saya sudah menyediakan bermacam-macam rancangan ketika di sana nanti.

Seorang kawan ingin meneruskan pengajiannya secara jarak jauh. Seorang lagi ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dan Inggerisnya. Saya pula membayangkan untuk membawa peralatan komputer bersama dan boleh menulis sebanyak-banyaknya buku dengan bahan rujukan yang banyak di tempat yang selesa. Apatah lagi, dengar-dengarnya boleh membuat panggilan telefon kepada sanak-saudara, bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Lucunya ada seorang kawan berbangsa India dari Sarawak mendapat cerita bahawa di Kamunting ada “swimming pool” yang orang tahanan boleh berenang dan bersantai-santai di dalamnya.

Tapi… bila menjejak kaki di Kamunting, terbukti hampir tiga perempat cerita-cerita itu tidak benar lansung. Indah khabar dari rupa. Begitulah takdir yang saya temui di Kamunting. Keadaan di sana terlalu sunyi. Pergerakan terhad dan dikawal. “Kemunting Resort” tidaklah seindah yang dibayangkan oleh IO (pegawai penyiasat). Tapi hati saya tidaklah terlalu kecewa… memanglah tempat orang bersalah. Pastilah begitu keadaannya. Kalaulah selesa, cantik dan nyaman, tidak layaklah ia dijadikan tempat tahanan. Mungkin layak jadi tempat pelancongan.

Di situ, saya melalui kehidupan yang unik. Bayangkan, berbagai bangsa, agama dan budaya, ‘terkurung’ dalam satu kawasan terhad dan dipaksa menjalani tempoh ‘hukuman’ sebagai cara pendidikan untuk menginsafkan. Terlalu banyak yang saya belajar. Maha Suci Allah, yang terlalu kaya sifatnya hingga kasih sayang dan cinta-Nya dapat terus dirasai lewat kawat berduri. Dalam tahanan saya kerap berbincang dengan ramai orang Cina, India, Pakistan, Bangladesh, Madura, Serani dan lain-lain.

Pada masa yang banyak terluang, saya membaca buku-buku ‘antik’ yang masih tersimpan di perpustakaan Kamunting yang serba sederhana itu. Saya berkesempatan melihat catatan-catatan pensel pada novel-novel Melayu lama yang kebanyakannya dibuat oleh bekas tahanan Komunis. Tulisan dalam Bahasa Mandarin atau Inggeris yang begitu rapi walaupun beransur-ansur samar kerana semakin dimamah usia. Saya juga membaca luahan hati atau luapan semangat yang tercatat di muka surat tertentu. Walau apa pun saya kagum dengan kesungguhan mereka belajar.

Sejak “malam pertama” di Kamunting, yakni di bilik penerimaan (sebenarnya lokap) di Kawasan T1, saya sudah menulis. Kebetulan pada hari itu bekalan elektrik terputus, saya mula menulis di atas sampul surat berisikan perintah tahanan yang saya terima dari KDN sewaktu ditahan di Kuala Lumpur. Hanya sebuah sajak yang sarat dengan rintihan dan harapan. Baru seminggu kemudian ketika alat-tulis yang dipesan melalui keluarga sudah sampai dan juga buku catatan yang dibeli dari kedai tahanan, barulah saya menulis sedikit selesa dan mantap.

Saya mula membaca kitab Al Hikam oleh Ibnu Ataillah Askandari yang dihuraikan dengan baik oleh Prof. Dr. K.H Muhibbuddin Al Waly. Saya juga membaca Tafsir Al Azhar (HAMKA), Stop Worrying And Start Living oleh Dale Carnargie. Buku-buku yang lain payah didapati (perpustakan Kamunting perlu dipertingkatkan). Selain daripada itu saya mengulang kaji secara cepat buku Mauizatul Mukminin oleh Imam Ghazali. Ketika-ketika tertentu saya juga membaca buku-buku motivasi yang ditulis oleh penulis-penulis Barat yang kebanyakan dibaca oleh tahanan berbangsa Cina dan India. Untuk riadah saya mula membaca buku bagaimana bermain Ping Pong dengan baik.

Sayangnya, buku-buku itu ditulis dalam suasana eksklusif yang hanya dirasai oleh para penulisnya. Bagaimana ‘rasa’ daripada suasana itu mahu dipindahkan kepada manusia-manusia terkurung seperti kami? Kekadang ada yang naik geram, bila penulis mengesyorkan supaya orang yang bermasalah pergi melancong…. Tambah menderita kalau penulisnya mencadangkan supaya berbincang dengan isteri…. Bayangkan destinasi pelancongan di tempat tahanan ini? Dan mustahil dapat bebas bersama isteri ketika bertemu sekali-sekala dibatasi jaring-jaring besi….

Saya terpaksa berdepan dengan tahanan-tahanan ISA yang kebanyakannya tidak lagi mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi seperti dahulu. Kalau dahulu para tahanan terdiri daripada para intelek – Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Karpal Singh (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi kini tahanan terdiri daripada buruh kasar, kuli kontrak, tukang gunting, pembawa teksi.. Namun manusia tetap unik…Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas. Cheong (bukan nama sebenar) setiap awal pagi lagi telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.

Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat “urgent”…. Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya). Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya.

Tetapi kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah hidup yang betul. Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”

Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu. Di luar mereka tidak punya masa untuk bersenam, menjaga kesihatan dan menguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpelesiran hingga pulang jauh-jauh malam. Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi.

Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu kan elok ditahan 2 tahun oleh ISA?

Di kem Kamunting, majoriti penghuninya mengalami tekanan perasaan. Walaupun tempoh tahanan dikatakan 2 tahun, tetapi tidak ada satu tarikh tetap untuk bebas. Berbanding dengan banduan yang “ditahan atas kesalahan jenayah”, tahanan ISA tidak pasti bila akan dibebaskan. Boleh jadi ditambah lagi…. Manusia menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya. Ketidak-pastian satu penyeksaan. Dalam keadaan-keadaan seperti itulah mereka sering dilanda kecewa. Mula-mula ditahan, terasalah diuji Tuhan… masing-masing mula “merapati” Tuhan. Bertaubat, minta ampun dan akhirnya minta segera dibebaskan. Namun kemudian, hati resah kenapa doa tidak terjawab? Apakah Tuhan mendengar rintihan ku? Apakah Tuhan tidak mengasihani ku? Begitulah bisik-bisik hati. Mulanya hanya melintas sesekali tetapi kemudiannya membengkak dan akhirnya menunggu masa untuk meledak.

Bila terjadi demikian, tekanan makin membebankan. Sebab-sebab yang kecil sahaja boleh menimbulkan pertengkaran yang sengit. Bayangkan sebab seketul ayam yang kecil waktu makan pun boleh menimbulkan pergaduhan. “Haiya… dulu luar punya jam rebut-rebut pasal ribu-ribu, juta-juta, sekarang pasal ayam pun boleh gaduh-gaduh….” Begitu rungut seorang teman berbangsa Tionghua. Apa lagi kalau menerima berita buruk daripada keluarga. Surat cerai, anak sakit, kesempitan hidup dan pelbagai berita negatif di luar. Ini boleh menggugat ketahanan jiwa orang tahanan jauh melepasi batas yang dapat ditanggung oleh mereka.

Takdir menentukan saya hidup di sana dan menjadikan saya seorang daripada mereka. Tekanan jiwa, bimbang, marah dan kecewa menjadi basahan hidup sejak hari pertama ditahan untuk disoal-siasat. Jeritan untuk bebas sering bergema dalam hati. Penahanan adalah berlawanan dengan fitrah manusia yang cintakan kebebasan. Namun, takdir mengatasi tadbir. Manusia tidak dapat lari dari ketentuan Tuhan. Yang tinggal hanyalah keupayaan tadbir untuk menerima takdir. Tetapi setiap takdir, pasti ada hikmahnya. Mencari hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku, akan menyebabkan kita tidak terlalu siksa menerima sesuatu yang buruk.

Pernah saya berbual dengan seorang teman dari Madura seusai solat berjemaah.
“Apa hikmahnya Pak Cik ditahan?” Tanya saya.
“Oh, banyak… kalau di luar mana sempat saya solat. Asyik berdangdut saja. Nanti-nanti main judi…. Kalau tidak berzina…” jawabnya mudah.
Seorang kawan berbangsa Pakistan pula ketika ditanya, menjawab, “Syukur. Kalau tak ditahan saya terus main perempuan. Minum-minum….”

Begitulah teman-teman saya, begitulah saya. Cuba mencungkil sebanyak-banyak hikmah. Alhamdulillah saya temui hikmah itu di Kamunting. Tiba-tiba sahaja saya rasa mendapat kekuatan baru. Sebagai penulis, bukankah masa yang begini panjang boleh dimanfaatkan untuk membaca dan menulis? Anda mungkin tidak percaya kalau dikatakan Kamunting adalah ’syurga’ bagi penulis. Saya mempunyai banyak masa di waktu siang untuk membaca buku, menyediakan catatan-catatan, menulis sajak, cerpen dan bahan pemikiran yang dirasakan penting.

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menulis. Sayangnya semacam satu hambatan (kalau tidak pun satu halangan) telah terjadi. Bagaimana saya betah menulis dengan tangan setelah sekian lama menggunakan L-top? Pada skrin komputer perenggan-perenggan tulisan boleh dialih-alihkan, kesalahan boleh dipadamkan dengan mudah dan tangan tidak lenguh memegang pena. Tentunya dalam bilik berhawa dingin pula. Tetapi semua itu mustahil di Kamunting, meja tulis terdiri daripada meja papan yang letaknya berdekatan dengan meja Ping Pong. Bangku panjang yang keras dan panas yang menyenggat. Peluh mengalir bersama aliran dakwat.

Saya juga kehilangan kawan-kawan di kalangan editor dan penulis. Bahan bacaan dan rujukan sangat terhad…. Rakan untuk ‘brain storming’ hampir-hampir tidak ada. Tiba-tiba saya tersedar, saya tidak boleh memandang rendah kepada kawan-kawan sekeliling. Mungkin mereka buruh kasar, tetapi selagi diberi akal tentu mereka mempunyai keistimewaan. Dan lagi, saya bertuah kerana semua mereka sedang menghadapi masalah…. Jadi tentu masing-masing ada cara untuk menghadapi masalah mereka. kenapa tidak dikutip kaedah-kaedah mereka itu? Bisik hati saya.

Ketika itulah saya sedar bahawa ‘kehilangan’ saya bukanlah satu kekurangan bahkan saya sedang menemui satu kekuatan baru yang jarang-jarang ditemui oleh orang lain. Saya sedar saya sedang mendapat latihan yang tidak ternilai kerana setiap hari saya terpaksa berdepan dengan OT (orang tahanan) yang bermacam-macam ragam. Ini sekolah bagi saya. Dan mereka semua adalah rakan yang perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah. Tentunya ini satu latihan praktikal yang yang jika berjaya dilaksanakan, akan memberi nyawa kepada tulisan saya nanti?

Ya, saya terus mencari hikmah, justeru yakin hikmahlah yang dapat menjadikan manusia yang lemah menjadi gagah. Saya bisikkan ke hati, ada di antara pengarang menulis dengan darahnya. Dengan tinta dan kertas yang diseludupkan secara curi-curi pula. Tetapi mereka lelaki sejati… terus menulis walau apa pun keadaan yang mereka hadapi. Akhirnya saya bersyukur bila sedar bahawa cara menghadapi masalah mestilah ditulis ketika kita berdepan dengan masalah. Barulah, ‘real’. Tentulah janggal misalnya, kalau ada penulis yang menulis tentang kemiskinan ketika enak-enak bersantai di banglo besar tanpa merasa sedebu pun bahang kemiskinan. Dan sinis sekali, akhirnya si penulis menjadi kaya hasil jualan bukunya tentang kemiskinan ketika si miskin yang menjadi bahan tulisan terus dalam kemiskinan….

Alhamdulillah, saya dapati masa-masa yang saya habiskan di meja tulis dalam tahanan Kamunting, adalah masa-masa ‘bahagia’ dalam tempoh derita itu. Malah kadang kala lebih bahagia daripada masa-masa yang saya alami di luar. Barulah saya sedar, bahawa hakikatnya ‘penjara hati’ adalah lebih sempit daripada mana-mana penjara di dunia. Berapa ramai orang bebas dan merdeka membunuh diri berbanding banduan yang meringkuk di penjara?

Usaha untuk memahami hikmah perlukan ilmu. Perjuangan untuk merasai hikmah perlukan iman. Jelaslah, bahawa apa jua masalah yang dihadapi oleh manusia mesti disalurkan kepada ibu sawat yang mengawalnya. Kembalikanlah segalanya kepada Tuhan. Justeru Allah mengajar manusia bahawa setiap kali mereka ditimpa masalah (ujian), maka ucapkan apa yang tertera di dalam Al Quran:
“Kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.”

Sebaik sahaja segala-galanya dikembalikan kepada Tuhan maka akan terserlah ribuan hikmah di sebalik ujian yang satu. Hikmah terbesar ialah lambaian kasih sayang Tuhan di sebalik setiap ujian. Agar manusia yang lupa, derhaka dan sombong itu kembali ingat, taat dan merendah diri kepada Pencipta-Nya. Hanya apabila dipisahkan daripada segala kecintaannya – isteri, anak-anak, saudara-mara dan teman-teman, barulah manusia terdorong mengingati Tuhan.

Di dalam tahanan, semua tempat pergantungan seolah-olah telah dicantas. Talian bumi ke bumi telah putus. Tetapi talian kepada Tuhan – Teman Daerah Tinggi (sepertimana sabda Rasulullah) makin terbuka. Hati kita seolah-olah dibisikkan bahawa Tuhan itu dekat, lambaian-Nya mesti dibalas. Dileburnya akal seluruh tadbir, untuk dilenturkannya hati sepenuh takdir. Saya teringat kata profesor Hamka ketika beliau ditahan selama 2 tahun 4 bulan dipenjara Indonesia. Katanya “di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang.”

Lalu atas kesedaran itulah saya menulis. Catatan ini bukan teori atau andaian tetapi hasil mengalami, merasai dan belajar di satu daerah yang unik dan asing. Di satu transisi yang jarum waktu seolah-olah diperlahankan dan penghuninya ‘terputus’ hubungan daripada dunia luar. Kini setelah beberapa lama berlalu, saya masih mampu mengimbau puputan angin dingin KEMTA, burung-burung gembala kerbau, serangga hitam berkulit tebal (istilah di Kemta: ‘Combat’) yang ‘menyerang’ waktu hujan, segar bunga kekwa, mekar bunga mawar, detakan mangga kunci pengawal waktu dinihari…

Oh, syukur saya ditakdirkan melalui saat itu. Saat yang paling mendidik dan menginsafkan. Kesibukan dunia bebas ke kadang terlalu bakhil untuk menghadiahkan waktu buat mengkoreksi kesilapan dan keaiban diri sendiri. Saya seorang yang penakut… Allah didik untuk saya berani melalui pengalaman yang “sakit” ini. Saya seorang yang sukar berdepan dengan “perpisahan”… Allah didik saya dengan perpisahan total ini. Saya seorang yang resah, Allah “sesah” saya dengan cemeti di daerah asing ini agar saya lebih tabah. Inilah “bunga dari Kamunting” yang pernah saya cium keharumannya. Hakikatnya, Tuhan telah ‘menahan’ saya… untuk membebaskan saya. Terima kasih ISA!

Untuk anda pembaca, yakinlah bahawa PENJARA JIWA itu lebih dahsyat dan mengikat daripada mana-mana penjara di dunia!

Dikirim dalam Tarbiyah | Label: , , , , , ,

Lagi kisah duka ISA.........

1 OGOS - MANSUH ISA

SUHAIMI SAID DITAHAN DIBAWAH ISA 1985 DAN DIBAWAH OPERASI LALANG 1987
===

1 OGOS - MANSUH ISA - 2 PTG -- SOGO, MASJID JAMEK, MASJID NEGARA, TO ISTANA NEGARA.


Parti-parti politik dan NGO akan turun beramai-ramai, suatu kebangkitan rakyat untuk memansuhkan ISA. HIMPUNAN MANSUH ISA, SABTU 1 OGOS.


Sebagai seorang insan yang sudah dua kali ditahan dibawah ISA, saya menyokong penuh, perhimpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ini, dan saya bersyukur bahawa setelah berpuluh-puluh tahun ISA diluluskan akhirnya Rakyat menyedari bahawa Akta ini Zalim dan menzalimi.


Diperingkat awal Undang-Undang ini diperkenalkan, hanya segelintir manusia menyedari bahawa Undang-Undang ini akan digunakan bukan untuk menentang "komunis" dan keganasan, tetapi untuk menahan sesiapa sahaja yang dianggap berkesan meruntuhkan politik UMNO/Perikatan/BN.


Parti-parti politik yang menyedari hakikat ini iaitu Parti Rakyat Malaya dan Parti Boroh Malaya menjadi terpinggir dan parti-parti pembangkang yang lain termasuklah parti-parti yang ada didalam Pakatan Rakyat pada hari ini terpesona dengan ISA dan mereka turut menyokong ISA sehinggalah mereka mendapati pimpinan parti-parti mereka juga turut ditahan di bawah ISA.


Pada tahun 1985 apabila kali pertama saya ditahan dibawah ISA, Majlis Peguam telah mengeluarkan kenyataan bahawa Badan itu tidak mahu terlibat dengan penentangan terhadap ISA kerana mereka tidak mahu campur tangan didalam hal-ehwal politik. Bagi Majlis Peguam pada waktu itu, penahanan di bawah ISA tidak melibatkan isu hak asasi manusia, tetapi semata-mata isu politik.


Sebagai seorang peguam yang ditahan dibawah ISA, saya sangat dukacita dengan kenyataan Presiden Majlis Peguam pada waktu ini. Tetapi manusia itu telah berubah apakala pada tahun 1987 ramai ahli-ahli politik kelas 1 turut ditahan dibawah ISA termasuklah beberapa orang pimpinan tertinggi daripada DAP.


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seorang peguam muda pada waktu itu, Matthias Chang, telah berhujah didalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam, beliau menentang ISA dan memberikan sokongan kepada saya yang dikurung di Kem Tahanan Kamunting.


Pada hari ini sudah menjadi satu fesyen bagi peguam-peguam menentang ISA, dan bagi peguam-peguam yang masih menyokong ISA, bukan sahaja mereka itu terdiri daripada golongan yang kecil dan terpinggir, tetapi mereka itu adalah terdiri daripada konserbatif yang tidak sepatutnya mengambil guaman sebagai satu karier dan profession.


ISA itu zalim dan cara ianya dilaksanakan juga adalah zalim. Dua kali saya ditahan dibawah ISA dan lebihkurang 3 tahun merengkok di Kem Tahanan ISA, tidak ada pertuduhan khusus apakah kesalahan saya.


Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan kepada saya kesemuanya rekaan yang tidak ujud dan sesetengah pertuduhan itu sangat melucukan yang tidak ada kena mengena dengan "keselamatan negara".


Bahkan anak kecil saya pada waktu itu mengatakan Polis telah mencuri hartanya bila saya ditahan dibawah ISA kerana permainannya bernama TRANSFORMER telah diangkut oleh Polis kerana pada kertas pembalutnya ada tertulis: IRANFORMER, maklum anak saya yang baru pandai menulis, Transformer ditulis Iranformer.


Pada waktu itu, Kerajaan BN ini cukup takut kepada pengaruh Iran, Negara itu baru sahaja melakukan rebolusi menggulingkan Shah Iran digantikan dengan Kerajaan Rebolusi Islam.


Semasa dalam siasatan, seorang Ustaz telah dibawa kepada saya untuk berhujah dengan saya mengenai Agama Syiah, kononnya saya ni sudah memeluk fahaman Syiah. Setelah beberapa jam Ustaz itu "berceloteh mempertahankan Sunnah terhadap Syiah", dia pinta pandangan saya. Dan dia terperanjat "beruk" apabila saya katakan bahawa saya tak pernah belajar tentang Syiah, dan tak tahu apakah pembawaan Syiah.


Semata-mata kerana Polis telah "angkut" permainan anak saya yang ditulis dikulitnya Iranformer, maka tuduhan terhadap saya bahawa saya adalah penganut Syiah.


Saya juga dituduh mempertahankan minya sawit Malaysia dan menentang minyak kacang soya USA. Rupa-rupanya mempertahankan produk Negara juga menjadi satu kesalahan dibawah ISA.


Melucukan bahawa saya dituduh menentang Arab Saudi dan menyokong Iran didalam hubungan kedua-dua Negara itu terhadap Amerika Syarikat.


Saya juga dituduh bahawa saya "mengkafirkan" UMNO, dan apabila beberapa tape dimainkan semasa didalam siasatan itu, kesemuanya merekodkan bahawa saya mengatakan seperti berikut:


"Kami (PAS) tidak pernah mengatakan UMNO itu kafir, dan kami mengajak ahli-ahli UMNO supaya menyertai PAS untuk memperjuangkan Islam."


Namun begitu, lucu atau tidak, mereka telah membuat keputusan untuk saya ditahan di Kamunting.


Apakah sebab sebenarnya? Sejak beberapa tahun, saya bergerak didalam rancangan-rancangan Felda diseluruh Negara dikalangan peneroka-peneroka Felda dan berjaya mengajak mereka supaya menuntut hak mereka khususnya berhubung dengan Suratan Hakmilik Individu apabila mereka telah berjaya menjelaskan hutang mereka dengan Felda.


Apa yang tercatat didalam Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda, ialah Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya mengeluarkan Suratan Hakmilik kepada kumpulan 20 orang peneroka diatas nama Koperasi apabila peneroka-peneroka berjaya menjelaskan hutang mereka kepada Felda.


Peneroka-peneroka menuntut Suratan Hakmilik Individu, tuntutan ini menjadi tuntutan yang sangat popular dikalangan peneroka-peneroka pada tahun 1980-an, dan sejajar dengan itu juga, saya berjaya menubuhkan cawangan-cawangan PAS dikebanyakan rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara.


Saya telah pergi ke seluruh rancangan Felda di seluruh Negara dari Perlis ke Johor dan dari Joohor ke Kelantan, dan dapat menyaksikan penghijrahan beramai-ramai ahli-ahli UMNO kedalam PAS.


Itulah sebenarnya ancaman iaitu ancaman kepada UMNO yang kehilangan sokongan di rancangan-rancangan Felda, iaitu tapak semaian UMNO sebagai pertahanan terakhirnya bagi mendapatkan sokongan Orang-Orang Melayu.


Saya ditahan dibawah ISA didalam tempoh beberapa hari sahaja lagi suatu Seminar Peneroka-Peneroka Felda Kebangsaan secara besar-besaran yang hendak diadakan di Darul Amin, Temerloh, dan dijangka tidak kurang dari 5000 orang pemimpin-pemimpin peneroka Felda akan menghadirkan diri kedalam Seminar tersebut.


Itulah punca sebenarnya saya ditahan dibawah ISA, dan bukan masalah ancaman kepada keselamatan Negara.


Dan itulah sebenarnya operasi ISA tersebut iaitu mahu mengekang tuntutan keadilan rakyat untuk demokrasi, bukan untuk keselamatan dalam negeri.


1 Ogos - saya menyokong penuh perhimpunan bagi memansuhkan ISA!

Lagi catatan kezaliman ISA.....

Oleh C.N.AL-AFGHANI

Mengharungi kehidupan di bawah kongkongan Akta ISA yang begitu lama,bukanlah sesuatu yang di impikan sebelum ini. Namun, inilah yang dikatakan ISA. Siapa pun bolehmenjadi mangsanya dengan hanya disyaki mengancam keselamatan negara. Jantung anda akan terhenti seketika apabila secara tiba-tiba rumah anda diserbu dan digeledah oleh orang-orang yang bersenjata. Lebih trajis lagi bila anda dibawa keluar dengan tangan bergari secara kasar di hadapan anak isteri. Tentu anda dapat bayangkan betapa hancurnya hati ahli keluarga mangsa ISA itu

Ataupun di satu ketika,sewaktu anda dalam perjalanan ke tempat kerja atau mahu pulang ke rumah, tiba-tiba kenderaan anda di pintas. Kunci kenderaan anda dirmpas dan secara kasar anda di seret ke sebuah kereta lain. Tangan di gari dan anda dmaklumkan yang anda ditahan atas mengancam keselamatan negara. Bagaikan gasing fikiran anda berputar mencari apakah kesalahan yang telah anda lakukan sehingga mengancam keselamatan negara itu. Tekanan fikiran ini akan bermain sejak anda ditahan hingga ke lokasi rahsia dimana anda ditempatkan.Seterusnya hinggalah ke sesi soal siasat selama dua bulan dilokasi rahsia tersebut.Dalam setengah kes tekanan perasaan ini berterusan hingga beberapa tahun anda ditahan di Kem Tahanan Kemunting (KEMTA ). Tak kurang juga yang mengalami Inilah peristiwa hitam yang pernah dan sedang di lalui oleh beratus tahanan ISA era saya keperitan ini setelah dibebaskan.

dari tahun 2001 hingga hari ini. Samada yang dituduh sebagai kumpulan Al-Maunah, Reformasi,Kumpulan Mujahidin Malaysia(KMM), Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Daulah Islamiah (DI). Hingga ke hari ini masih terdapat tahanan yang ditahan menjangkau 8 tahun. Saya pernah bersama mereka di KEMTA. Dr.Abdullah bekas seorang pensyarah dan saudara Mat Shah Satrey bekas pemandu teksi. Kedua-duanya terkenal dkalangan orang tahanan sebagai tahanan yang berakhlak,sopan santun dan tidak membuat masalah pada orang lain juga kepada penguasa kem. Tetapi kenapa mereka ditahan begitu lama? Inilah kezaliman ISA yang amat sukar fahami kerana ianya satu tahanan tanpa bicara. Mereka boleh menahan sesiapa saja yang disyaki,tanpa membawa ke muka pengadilan. Dan mereka boleh menahan mangsa selama mana yang dikehendaki.Bkan atas keselamatan Negara,sebaliknya atas prinsip tahanan yang tidak mahu tunduk kepada kezaliman ISA itu.

Sebagai contoh,Dr.Abdullah amat tegas bila berhadapan dengan SB yang turun memantau tahanan setiap 6 bulan sekali. Ia mengambil kesempatan setiap pertemuan itu berhujah dengan SB berdasarkan fakta al-quran dan hadis . ia antara tahanan yang banyak bertukar SB,kerana mereka tak sanggup mendengar apa yang disifatkan sebagai ceramah oleh SB. Lalu ia dianggap tahanan yang masih belum insaf. Begitu juga dengan Mat Shah yang tidak berminat bertemu dengan SB kerana dianggapnya TIDAK memberi faedah. Ia didera atas sikap itu. Juga dikatakan sebagai satu tindakbalas pihak berkenaan terhadap isterinya, Norlela yang menjadi aktivis dalam Gerakan Mansuh ISA(GMI).

Ramai yang beranggapan tahanan ISA akan mendapat sedikit keselesaan di zaman Pak Lah berkuasa.Bukan sahaja sebagai Menteri Dalam Negeri,juga sebagai Perdana Menteri.Sifat lemah lembutnya dan juga ilmu agama yang dimilikinya diharapkan keadaan tahanan,khususnya kebajikan keluarga mereka di ambil perhatian. Rupanya keadaan sebalik berlaku,malah lebih teruk dari era sebelumnya,ketika Tun Mahathir berkuasa. Pak Lah sudah tentu tahu, dalam Islam antara golongan yang perlu mendapat perlindungan pemerintah adalah wanita dan kanak-kanak disamping lelaki tua. Dalam satu kes, Pak Lah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB. Isteri muda ini ditangkap dalam rumahny di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebihkurang 4 tahun.Ketika ibunya di bawa pergi ditengah malam,anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas. Anda bayangkan,bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa.

Hampir 60 hari ia ditahan untuk soal siasat oleh Bukit Aman. Setelah dibebas dkenakan pula tahanan daerah selama 6 tahun. Suatu sekatan semata-mata untuk menyusahkan pergerakannya mencari nafkah,juga melawat suaminya di KEMTA.

Satu peristiwa berdarah dalam KEMTA yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 December 2004. Ianya berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia,Filipina dan Malaysia. Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang,Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di KEMTA. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah KEMTA ketika itu,sempat saya mengigatkan ianya jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang,bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.

Pagi 8 December 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging,main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebihkurang jam 9.00 pagi ,semua warder yang bertugas disemua blok (6 blok).diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa di awasi. Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni warder tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA,segala-galanya boleh berlaku.Ringkas cerita diruangan yang terhad ini,pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mengujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih seratus UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan,merempuh masuk menyerang OT.

Dalam insiden itu kesemua OT dipukul semaunya,hingga ada yang pengsan,patah jari,cedera dikepala,betis dan lain-lain anggota. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 1oo meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok,bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan. Hampir semua nya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewjarnya,begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang Malam baru sorang demi sorang.di bawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut,doktor yang merawat OT,amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.

Tak cukup di situ sahaja,esoknya operasi berjalan pula di lain-lain.blok.Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter. Sepanjang perjalanan itu,mereka dipukul,sepak terajang,maki hamun hingga ada yang mencabar Allah turun bantu OT. Terdapat juga warder KEMTA yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang di bawa melintasi mereka. Paling menyedihkan,terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok. Mungkin sukar untuk anda percaya,tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk dari pihak KEMTA dengan alasan mereka mendapat arahan dari KDN

Begitulah sekelumit dari segunung kezaliman ISA. Kami yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik,adil,bertanggungjawab dan tahanan kami ini adalah wajar. Jika tidak, kami dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun.Keadaan ini mengigatkan saya apa yang sering disebut oleh Allahyarham Presiden PAS ,Ustaz Fadzil Nor dalam mengulas isu ISA ini. Menurut beliau, "apakah adil pada kamu apabila menangkap orang,di ikat kaki tangan ,dipukul,sepak,terajang,kilas tangan dipijak sampai patah kaki,sumbat mulut lalu ditanya orang itu,sakit atau tidak. Sudah tentulah pelaku-pelaku ini terdiri dari orang-orang yang tidak waras"

Beberapa hari sebelum bebas, saya didatangi oleh salah seorang pegawai kanan Bukit Aman.Dia berpesan pada saya agar memaklumkan kepada pihak-pihak atau NGO yang berusaha menghapuskan ISA. Bahawa ISA ini tidak akan dihapuskan walaupun terdapat 1000 NGO membantah.Sehingga ini tak ada mana-mana pihak yang saya maklumkan. kecuali pada YB Shaari Sugaib yang menziarahi saya setelah dibebaskan. Sepanjang pengalaman 1893 hari mengharungi kezaliman ISA itu,saya yakin apa yang dkatakan pegawai berkenan benar. Ini kerana yang menguasai isu ISA ini,samada dari KDN atau Bukit Aman, terdiri dari mereka yang hatinya keras tidak lut dengan nasihat agama dan hilang kemanusiaan mereka.

GMI,NGO dan parti politik pembangkang sememangnya tidak mampu untuk menghalang keegoan pemerintah.Hanya kebangkitan rakyat sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Rakyat yang tidak mempunyai maklumat atau memandang remeh isu ini,tak akan bersuara,apatah lagi ke jalanan membuat bantahan. Terutama di saat ini,masih menjadi bualan PM baru membebaskan 13 tahanan sebaik saja menganti Pak Lah. Rakyat tentu tak tahu bahawa ini satu sandiwara. Mereka diperjudikan semata-mata untuk kepentingan PM baru,Najib.

Tentu kita masih ingat, 3 minggu selepas Pak Lah ambil alih kuasa 15 orang tahanan anggaota Al-Maunah telah dibebaskan sehari menjelang aidilfitri November 2003. Desas desus pembebasan mereka ini telah kami dengar tiga bulan sebelum itu. Namun mereka di kambinghitamkan untuk kepentingan politik Pak Lah. Dua minggu selepas itu,saya didatangi SB dari Bukit Aman . Di antara perbualan kami menyentuh isu pembebasan anggota maunah itu. Disebutkan pada saya antaranya," cuba hang fikir,bila mereka balik menjelang raya, bukan saja tangan mereka,tapi tangan isteri,anak-anak dan ahli keluarga masing-masing akan angkat doa berterima kasih pada Pak Lah kerana dapat menyambut raya bersama keluarga di rumah. Tentu mereka kata Pak Lah baik".

Sandiwara ini berulang lagi pada giliran Najib. Tetapi cacat lakonannya kerana tidak semua anggota Hindraf dan JI dibebaskan. Namun Makkal Sakthi yang ditunjukkan oleh masyarakat India berjaya memberi tekanan hingga semua anggota Hindraf dibebaskan. Tinggal lagi anggota JI dan DI. Semasa muktamar PAS yang lalu,saya bertemu dengan Norlela,isteri Mat Shah. Menurutnya,seminggu lagi ia akan ke Geneva atas urusan merayu pihak antarabangsa membebaskan suaminya. Dia yakin suaminya akan dibebaskan penghujung bulan jun yang lalu. Itulah antara kezaliman ISA, isteri dan anak-anak diberi janji-janji manis. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kehampaan.

Tidak lengkap isu ini tanpa menyentuh keadaan anak isteri sepanjang kami tahan. Sebaik saja ditahan,rumahtangga menjadi kelam kabut.Khususnya isteri menjadi tidak tentu arah. Mana nak melayan kerisauannya,terpaksa pula memujuk hati anak-anak kecil yang merindui ayah mereka,juga kejutan anakanak remaja yang terpaksa menghadapi masyarakat yang berbagai ragam. Cuba bayangkan,bagaimana anak-anak remaja ini,khususnya kami dari KMM yang dituduh membunuh dan merompak. Media membesarkan tajuk ini dengan menyiarkan gambar-gambar kami selaku penjenayah sepanjang bulan ogos hingga hujung tahun 2001. Waktu ini ada anak-anak kami yang akan menghadapi peperiksaan UPSR,PMR,SPM,STPM dan dipusat pengajian tinggi.

Terdapat dalam beberapa kes di mana isteri terpaksa memohon cerai atas tekanan pihak tertentu. Anak remaja yang meninggal kampong kerana tak selesa tinggal lagi dengan fitnah terhadap ayah mereka. Tak kurang pula anak-anak ini yang terpaksa tangguh pengajian kerana masalah ekonomi dan tekanan perasaan. Paling menyedihkan apabila pihak berkuasa langsung tidak mempedulikan kebajikan keluarga tahanan. Malah terdapat kes dimana pihak tertentu diarahkan menghalang individu memberi sumbangan wang pada keluarga tahanan. Pada awal tangkapan ramai yang simpati hulur sumbangan samada ketika dating ziarah atau memasukkan wang dalam akaun bank. Dengan halangan itu,akhirnya tak ada lagi sumbangan individu,kecuali NGO atau saluran politik pembangkang.

Ada juga yang simpati,lalu bantu membawa keluarga tahanan ke KEMTA seminggu sekali. Dengan halangan dari pihak tertentu,akhir terpaksa menaiki bas ke KEMTA. Lebih menderita pada isteri yang tinggal jauh seperti Johor, Negeri Sembilan,Melaka,Selangor,Kelantan,Terangganu,Pahang,Pulalu Pinang dan Kedah. Tak kurang pula dari Sabah. Teringat saya pada seorang rakan tahanan yang terkenal dengan kesabarannya. Selalunya,bila pulang dari bertemu isteri,wajahnya ceria dengan berbagai cerita baru yang dibawanya. Satu iapulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah zohor saya kebiliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah dating menemuinya sewaktu dia baru sepuluh hari melahirkan anak lelaki. Kerana yahu suami berhajatkan anak lelaki,dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia. Tidak ada lagi orang yang mahu menghantarnya,lalu isterinya naik bas dari Banting seawal pagi menuju ke K.L. Kemudian ambil bas dari Puduraya ke Kamunting. Makan masa hampir enam jam. Di pintu utama masuk kem, dia terpaksa pula jalan kaki hampir satu kilo meter ke tempat pendaftaran pelawat.

Usaha mengumpulkan ratusan ribu rakyat mengadakan protes memansuhkan Akta ISA pada 1 Ogos 2009 ini wajar dipandang serius oleh semua pihak. Masih banyak lagi babak-babak kezaliman disebalik tabir ISA. Memang benar jumlah tahanan sekarang kurang dari 10 orang,tetapi amaran dari Menteri Dalam Negeri baru-baru ini kepada pihak tertentu, membayangkan KEMTA bakal dipenuhi penghuni lagi. Seperti dikatakan,tidak ada kuasa yang boleh menyelesaikan isu ini melainkan kua rakyat. Kita lakukan ini bukan untuk kita,tapi buat jenerasi akan datang. Bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Bekas tahanan seperti saya dan rakan-rakan lain masih lagi dibimbangi dengan pantauan seolah ugutan. Kehidupan harian kami tidak selesa seperti dulu,terutama perbualan talipon kami dirakam. Ada yng dipaksa memaklumkan pada Bukit Aman jika menerima panggilan dari luar Negara. Tak kurang pula yang ditahan passport oleh KDN juga sukar membuka akaun bank. Ramai antara kami yang keluar terpaksa terkapai-kapai mencari nafkah hidup. Perkerjaan dulunya telah hilang. Yang terlibat dalam perniagaan,terbantut bisnes. Saya umpamanya, terpaksa menanggung hutng hampir 200 ribu ringgit akibat projek ternakkan ayam yang tersadai sebaik ditahan lebih dari lima tahun. Bukan senang bagi saya untuk mengumpul wang dengan jumlah sebegitu banyak dalam usia separuh abad ini.

Apa yang dialami oleh mangsa ISA,terutama mereka yang lebih dari 3 tahun dalam tahanan,gelora hidup keluarga merekam seharusnya mengamit simpati dari kita. Bayangkan Norlela sanggup pergi ke Geneva semata-mata dengan hasrat membebaskan suami tercinta,juga menyatakan kezaliman ISA di mata dunia, ngapa kita tidak sanggup untuk beberapa jam sahaja menyambut seruan pihak tertentu untuk memberi sokongan dalam usaha menghapuskan ISA.

Tuanguru Nik Aziz pernah mengigatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu ruma,setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak. Justeru, sedikit masa dan keringat kita semasa perhimpunan itu tentunya akan dipetanggungjawab juga hadapan Allah kelak. Bukan sahaja memberi sokongan kepada kegigihan Norlela serta keluarga Dr.Abdullah,lebih jauh dari itu adalah kita bersama-sma dengan golongan yang menentang kezaliman. Dalam satu himpunan, satu langkah,satu hasrat dan satu suara rakyat Malaysia HAPUSKAN ISA …………………




Suhaib anda anak yang tabah........

Catatan Anak Seorang Tahanan ISA - Oleh Suhaib Mat Sah. Anda wajib BACA !!!!!

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga. Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...


*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

**Ibu Suhaib adalah Puan Norlaila pemilik laman web http://lailagmi.blogspot.com/ @ merah hitam.

***credit kepada merdekareview






Rabu, 29 Julai 2009

Welcome to KL..........................

Tinggal dua hari lagi menjelang perhimpunan membantah kekejaman ISA. Bas - bas dah banyak dicatar. Van, kereta dan motorsikal semuanya akan menghala keKuala Lumpur menjelang 1 ogos Wajah-wajah keriangan jelas terpapar walaupun tahu apa yang bakal menimpa nanti.

Bas-bas rombongan akan keKuala Lumpur bagai menyaksikan pertandingan akhir piala malaysia.Saat tersebut pernah aku rasai ketika Terengganu memasuki pertandingan akhir piala malaysia dan berjaya pula membawa pulang piala tersebut kenegeri bertuah Terengganu DarulIman ketika itu. Tahniah pada jurulatih Mat Zan Mat Aris dan para pemainnya waktu itu.

Bezanya nanti ialah bas-bas rombongan ini pasti terhalang perjalanannya dengan pelbagai kerenah birokrasi. Sekatan jalanraya sepanjang perjalanan sukar hendak digambarkan. Dan akan ada bas yang tersadai dimana-mana. Penumpangnya pula pandai-pandailah membawa diri. Yang pentingnya mesti berada dilokasi perhimpunan tersebut bila tiba waktunya.

Pelbagai panduan dan pesanan telah diberikan mengenai perhimpunan itu.Cuma aku nak pesan kalau ada duit lebih eloklah beli topeng gas yang aku tunjukkan ini. Selamat berjuang semuga perjuangan kita semua akan dikenang oleh anak cucu kita nanti. Perjuangan untuk membebaskan diri kita semua dari satu akta zalim yang sangat tidak sesuai untuk diamalkan dalam negara yang telah lama merdeka. Selamatttttttttttt.........................



Ahad, 26 Julai 2009

Sampah pun benci pada kita.........................

Kalau ditanya pada semua orang tentunya mereka akan menyukai suasana yang bersih,nyaman,sungai-sungai yang mengalir deras,bukit-bukit yang penuh dengan pohon-pohon kayu yang menghijau.

...........keindahan kampung halaman sentiasa mengamit perasaan. Suasana sedemikian sudah tentulah semakin berkurang dibandar kini. Yang ada hanyalah bangunan-bangunan yang tinggi melangit.Pokok kayu semuanya dikorbankan atas nama pembangunan.

..........alam sekitar sangat penting dijaga. Kerosakannya menyebabkan kehidupan kita juga menjadi susah dan porak peranda.Kepentingan menjaga alam sekitar semua orang tahu dari murid kelas dewasa, tadika , sekolah rendah sampailah kepuncak universiti.

........alam sekitar yang bersih akan menjamin kesihatan manusia. Akan menjadi tarikan pada sektor pelancungan. Akan membekal pada manusia, binatang dan segala kehidupan dengan udara yang segar. Akan menghasilkan ekosistem yang stabil. Akan memelihara habitat laut dan udara. Dan mengelakkan kepupusan sumber makanan pada manusia.

Tapi manusia tidak menghormati dan menghargai itu semua. Jika jumpa sungai dibuangnya sampah kedalam. Jumpa air terjun dibalingnya tin minuman. Jumpa bukit dibakar.Jumpa pokok ditebas. Hanya Karam Singh yang bersungguh-sungguh menyedarkan mereka tetapi mereka tetap leka.

Rabu, 22 Julai 2009

Kenapa Beng Hock mati........

Ucapan Tunang Teoh Yang Membuatkan Aku Menangis!!

Berikut teks luahan hati Soh Sher Wei kepada tunangnya Teoh Beng Hock di upacara penghormatan terakhir kepada setiausaha politik exco kerajaan Selangor pada 20 Julai 2009.

Ia diterbitkan semula untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tidak dapat hadir di Alor Gajah, Melaka.


Beng Hock, kau tiba-tiba pergi tanpa sebarang pesan.

Kau kata, masih banyak yang kita ingin lakukan bersama.

Banyak lagi tempat yang sepatutnya kita kunjungi

Kau kata akan menemaniku sepanjang perjalanan hidup ini

Tapi apa yang harus kulakukan sekarang?

Bagaimana dapat kita bertemu lagi?

Kau sentiasa di ingatanku

Aku selalu mengingatimu... aku mahu dikau kembali, muncul semula di pangkuanku

Dalam beberapa hari ini, aku sentiasa menantimu

Tetapi ia sungguh mengecewakan

Aku hanya ingin tahu sama ada kau selamat, apakah kau menderita?

Jangan biarkan aku terus menunggu? Aku mahu menemuimu sekali lagi. Cukuplah walau sekali.

Bila titisan air mataku tidak dapat menghidupkan dirimu

Aku terpaksa menerima hakikat kau telah pergi buat selama-lamanya

Hari ini, aku masih perlu mengucapkan selamat tinggal

Aku berjanji, aku akan jalani kehidupan seadanya.

Tetapi, kau mesti berjanji sentiasa di sisiku, dan kita bersama-sama membesarkan (bayi ini).

Beng Hock, perjalanan kita berdua dalam hidup ini sudah berakhir.

Tetapi aku berharap, kalaulah ada kehidupan selepas ini, aku amat berharap kita dapat bersama-sama meneruskan perjalanan kita.

Kekasihku, semoga dikau tenang di alam abadi.

Selasa, 21 Julai 2009

Mansuh.... mansuh... mansuh ISA.



1 ogos 2009 satu lagi tarikh yang akan menjadi sejarah kepada perjuangan rakyat. Perhimpunan menuntut pemansuhan kekejaman akta yang sudah terlalu banyak menyiksa insan-insan yang tidak berdosa. Mengapa aku katakan tidak berdosa kerana mereka tidak pernah dibicarakan.

Zaman dunia sudah terlalu maju ini masih ada lagi undang-undang purbakala dikekalkan. Orang berhak untuk mengemukakan pelbagai pendapat dan andaian terhadap akta ini tetapi zalim dan kerakusannya tidak siapa pun berani pertikaikan.

Kepada anda yang tak pernah ambil tahu mengenainya sila ambil sedikit masa untuk membaca rintihan hati dan suara mereka yang pernah merasainya. Banyak buku telah dihasilkan khusus mengenai ISA ini. Bacalah kerana dengan membaca ilmu dan pengetahuan kita akan bertambah. Jadilah rakyat yang cakna dan ambil tahu tentang apa yang berlaku pada negara kita ini.

Kepada peserta - peserta perhimpunan syabas diatas keberanian yang ditunjukkan kerana kita semua pun tahu dan bersedia untuk menerima lontaran gas-gas pemedih mata. Tapi itulah nilai sebuah perjuangan. Pengorbanan yang dilakukan ini adalah kerana kita cinta dan sayang kepada negara kita..... Malaysia.

Ahad, 19 Julai 2009

BaitulMaqdis


Dah nak masuk bulan Ramadhan kita ni.Kata ibuku selepas solat maghrib tadi. Esok sudah 27Rejab bermakna tinggal sebulan lagi berpuasalah seluruh saudara islam ku seluruh dunia.Esok juga adalah hari dimana berlakunya peristiwa besar dalam sejarah umat islam iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj Rasulullah s.a.w.

Peristiwa besar ini berlaku dimana baginda s.a.w dijemput mengadap Allah taala ditempat yang paling tinggi yang tidak mampu dicapai walaupun oleh para malaikat dan rasul-rasul yang lain. Ada hikmat yang besar mengapa Allah taala mengisra'kan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke BaitulMaqdis sebelum baginda dibawa kelangit bertemu Allah. (lihat surah al Isra' ayt 1)

Apa yang Allah nak ajar kita ialah BaitulMaqdis itu adalah salah satu tanah suci ummat Islam yang wajib dijaga. Ia adalah tempat ramai para rasul dan nabi diutuskan oleh Allah. Apabila Rasulullah dibawa ke BaitulMaqdis ia bermakna satu kesinambungan dan penerusan daripada ajaran Nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu yang diutus oleh Allah kepada manusia.

Apabila Rasulullah dibawa ke BaitulMaqdis ia sepatutnya memberi peringatan bahawa betapa pentingnya bumi tersebut kepada umat islam.Bumi BaitulMaqdis menjadi tersangat penting kerana ia menjadi tanah suci juga bagi dua agama lain iaitu yahudi dan nasrani.


Umat islam harus menyedari sekiranya bumi palestin bermandikan darah, bunuh membunuh dan zalim menzalimi seperti yang berlaku hari ini maka seluruh dunia juga akan berlaku kucar kacir dan permusuhan.

Lihat pada hari ini bagaimana umat islam seluruh dunia dianggap sebagai pengganas apabila bangkit menentang kezaliman dan penindasan yahudi.Seluruh negara kristian dunia menjadi sekutu rapat yahudi dan berada didalam keadaan mahu menerkam umat islam dan seluruh kekuatan senjata dihadapkan kearah umat islam.Yahudi berjaya menampakkan seolah-olah diri mereka dizalimi dan ditindas oleh umat palestin.

Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah Yahudi itulah yang merampas bumi palestin yang menjadi tanah air umat islam sejak berkurun-kurun lamanya. Yahudi juga tidak mengiktiraf hak umat islam keatas bumi palestin yang menjadi tanah warisan mereka dimana disitulah para nabi dan rasul dibangkitkan oleh allah.

Maka menjadi kewajipan keatas umat islam berjuang untuk membebaskan bumi palestin yang asalnya adalah milik umat islam. Ingat peristiwa Isra' dan Mi'raj maka ingatlah bumi Baitulmaqdis yang masih dicengkam oleh musuh Allah ini.

Sabtu, 18 Julai 2009

Berita yang tenggelam dengan kematian Raja Pop

Marwa as-Sharbini: Mati syahid kerana tudungnya

Marwa1Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim. Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari, bahkan berminggu masih belum reda isunya.

Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor, MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid.

Satellite

Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden .

Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa, melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.

Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim, di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.

Profesor bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan pada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.

Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.

Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya, Mohammed Al-Bazzawi. “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.

Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman perleceh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim.

Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.

Salah satu pemberi komen misalnya, menyarankan agar pelaku pembunuhan Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa.

Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu, seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa. Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.

Sementara itu, atas sikap akhbar Die Welt online, website Ikhwanul Muslimin menyeru kaum Muslimin untuk menyampaikan email protes kepada akhbar tersebut agar menghapuskan komentar-komentar yang rasis dan anti-Muslim, melalui alamat email: online@welt.de

(disunting dari pelbagai sumber)

Selasa, 14 Julai 2009

MANEK H UNAIN










8:18pm- Keputusan tidak rasmi menunjukkan PAS memperoleh kemenangan tipis dengan undi majoriti 65.

Sehubungan itu, Umno memohon diadakan semula pengiraan undi.

Isnin, 13 Julai 2009

Angan-angan besar nak tawan Manek Urai. Sila melangkah kalau nak terburai

Selamat keluar mengundi kepada semua pengundi-pengundi di Manek Urai.Aku rasa semuanya dah tahu nak pangkah apa esok.Kad Pengenalan jangan lupa bawa tu.. Keluar awal nanti hujan susah pula nanti. Tapi tak apa kalau hujan pun banyak kenderaan sedia membantu.Payung pun banyak disediakan.

Tidur awal jam 12.01 tengahmalam masuk tidurlah semua . Biarkan tetamu dari luar tu menjaga keliling rumah kamu. Keselamatan terjamin benor kerana polis saja dah ada beribu kat sana. Pencuri pun tak berani rapat mungkin pergi mencuri didaerah Jeli atau Pengkalan Chepa.

Bangun awal-awal solat subuh. Sebelum jam 8 tunggu depan pintu pagar sekolah yang dijadikan tempat pembuangan undi. Masuk barisan tapi pangkah belum tentu lagi tu. Fikir dan timbang elok-elok.Bulatkan hati dan tekad. Fikir sebelum pangkah nak jambatan ke atau nak apa? jambatan....jambatan....jambatan.... nak jambatan pangkah Tuan Aziz. Kalau tidak pangkah Abe Uji.Kalau pangkah Aziz dah tentu dia jadi tuan. Pangkah Fauzi tentu dapat abang (abe). Mana yang nak dipilih TUAN ke atau ABE....

Nak jambatan undi Barisan


Aku dengar berita semalam. Lama dah aku tak dengar berita TV ni. Aku dengar dengan telinga aku sendirilah bukan dengan telinga orang lain TPM Muhyiddin kata kalau pangkah barisan kali ni orang Manek Urai akan dapat jambatan baru.

Bengang, bengang dan bengang.......aku kalau cakap jenis macam tu aku rasa macam merendahkan martabat para pengundi sedangkan duit nak bina jambatan tu datang pun dari cukai rakyat jelata, dari hamba pacal yang hina. Kalau rakyat tak bayar cukai kerajaan nak ambil duit kat mana nak buat pelbagai pembangunan.

Jadi ucapan seperti ini aku rasa tak payahlah lagi diulangi. Banyak lagi cara lain nak memenangi hati pengundi. Itu tak termasuk ucapan menghina para peraih ikan. Cukuplah , cukuplah Yang Berhormat....orang kampung pun ada maruah. Lama sangat jadi kerajaan pun tak seronok.Sekali sekala elok juga jadi pembangkang baru dapat banyak pengalaman. MU aku takut jadi mati UMNO.

Ahad, 12 Julai 2009

H1N1 Flu?

Ada iklan diradio meminta orang ramai supaya jangan melawat negara yang berisiko tinggi dengan kes-kes selsema babi. Iklan tu berbunyi "sila tangguhkan lawatan ke luar negara......bla.bla.bla..... Menyampah sekali aku mendengarnya kerana sudah tau risiko jangkitan yang tinggi buat apa juga nak ke luar negara? Kalau kena jangkitan tu seorang diri tak mengapa. Ni tidak semua sekolah terpaksa ditutup gara-gara ada kes HINI tu.

Anak jiran aku yang tak ada kena mengena pun terpaksa cuti kat rumah. Susah main dengan orang kaya-kaya ni larangan dan nasihat kerajaan langsung tak didengar dan dipatuh. Orang kampung je sibuk kena patuh dan dengar arahan. Waktu bercuti bukan main gembira lagi . Kita yang tak ada peluang bercuti dan berseronok pula yang jadi mangsa.

Yang kerajaan pun satu. Buat apa dibenarkan lawatan kenegara-negara berisiko tinggi tu?Ada kes semua susah. Dari driver ambulan, pembantu perubatan, jururawat, doktor apa lagi semua kena pakai topeng. Rimas dan merimaskan. Kes denggi tak kesudahan datang pula kes-kes ni menganggu.

Rabu, 8 Julai 2009

Mudahnya memerintah.........................

Maka berkatalah MENTERI yang mengawal hal ehwal pelajaran bagi bumi Malaysia bahawa PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat mulai 2012. Maka bertuturlah ia bahawa ia dibuat berdasarkan kajian dan bukan kerana tekanan politik dari mana-mana pihak.Maka seluruh rakyat jelata disuruh bersabar. Maka apa yg aku nak kata ialah bagaimana mudahnya kita dipermainkan.Sudah berapa ribu anak-anak kita yang sudah gagal dalam matapelajaran Sains dan Matematik sepanjang pelaksanaannya.

Yang lulus matapelajaran tersebut diperingkat UPSR , PMR dan SPM yang lalu pun kelam kabut sekali untuk menguasainya. Anak-anak kita yang bersekolah diasrama penuh pun menderita angkara pelaksanaannya. Inikan pula pelajar yang berada disekolah-sekolah harian kerajaan.

Aku ni yang belajar dalam aliran melayu suatu waktu dulu langsung tak dapat membantu bila anak-anak bertanya mengenai pelajaran mereka. Walhal zaman aku bersekolah dulu pun ramai teman-teman aku dapat jadi doktor, arkitek, pensyarah walaupun belajar dalam pengantar bahasa melayu.

Yang susahnya ialah kerana pemimpin-pemimpin aku ni orang melayu tetapi hidup mereka sudah lebih dari orang putih. Lebih sudu dari kuah.Kalau ada masalah mereka akan bercakap mengenai melayu dan ketuanannya tetapi yang dimangsakan ialah orang melayu ni jugalah.Malangnya melayu dibumi sendiri...... jangan sampai jadi apache dibumi Amerika.

Khamis, 2 Julai 2009

Tiada jalan pintas nak mewah

Semua orang memerlukan wang. Orang Terengganu kata pitis samalah dengan orang Kelantan.Pitis ni boleh didapati dimana-mana.Tetapi bukan senang nak dapatkan pitis ni. Ada orang sanggup mengadai maruah diri untuk mendapatkannya. Tiada jalan mudah untuk memperolehinya.

Orang Bangla dan Indon sanggup mengadai nyawa merentas lautan semata-mata untuk mencari pitis dibumi Malaysia. Para pengedar dan pembuat dadah sanggup kehilangan nyawa semata-mata nak dapatkan pitis.

Ada beratus-ratus jenis kerja yang tuan boleh lakukan untuk menambah kekayaan dan pendapatan. Apa yang perlu ialah kita berfikir sedikit kemudian bekerja untuk mendapatkannya.Wang bukan mudah didapati dengan usaha sahaja tetapi disertakan dengan fikiran dan pengalaman.

Jika tuan mahukan wang untuk bermewah tuan mesti tunduk kebumi kerana dari bumi wang atau pitis ni datang. Ramai orang tadah tangan kelangit mengharapkan wang atau emas diturunkan sedangkan mereka tahu bahawa emas tersimpan didalam perut bumi. Emas belum pernah diturunkan dari langit.

Jika tujuan hidup tuan mencari kemewahan maka tuan mestilah terlebih dahulu menjadikan diri tuan mewah dengan sifat kerajinan, mewah dengan fikiran dan mewah dengan kemahuan. Jangan tergolong dalam kumpulan manusia yang menadah tangan kelangit sahaja untuk mendapat wang dan kemewahan. Jumpa lagi.