Pengikut

Khamis, 30 Julai 2009

Bacalah catatan-catatan ISA ini.......

TERIMA KASIH ISA – BUNGA DARI KAMUNTING

isa(Sudah lama saya mencatatnya tetapi tidak pernah saya paparkannya. Buku saya: Bunga dari Kamunting: Terima Kasih ISA!, terus tersimpan. Sebulan yang lalu, seorang Dato’ meminta pandangan saya tentang ISA untuk dijadikan bahan kajian dan bukti hujah. Saya tidak segera memberi respons… justeru pengalaman sendiri hakikatnya bersifat “khusus” – yang tidak mungkin boleh dijadikan kayu ukur untuk “menghukum” sesuatu yang bersifat umum. Saya memilih untuk berdiam diri. Bukan tidak berpendirian, tetapi itulah pendirian saya (buat masa ini).

Saya terdiam. Lama bertafakur. Mencari jawapan dari pelbagai ulama dan intelektual Islam. Akhirnya saya mengambil sikap tawakkuf – berdiam sambil terus berusaha mencari ketepatan jawapan, bila ditanya ISA itu masih relevan atau tidak. Biarlah saya bersalah kerana tidak menghukum daripada bersalah akibat tersalah hukum. Ini bukan soal personal, tetapi soal prinsip yang melibatkan keadilan dan kesaksamaan hak sesama manusia di neraca KEADILAN Allah!

Namun, masih banyak yang boleh saya kongsikan apabila ditanya tentang ISA. Bukan sisi “halal” atau “haram”nya, tetapi sisi tarbiah dan ibrahnya. Ya, mungkin satu ketika nanti akan tiba juga masanya untuk saya luahkan segalanya. Tetapi buat masa ini biarlah hanya cacatan di bawah (yang dibuat 10 tahun yang lalu) menjadi pendulu bicara saya dalam Bunga Dari Kamunting: Terima kasih ISA!” Saya berdoa, kita yang hakikatnya masih dan terus sering “terpenjara” dalam mazmumah diri dapat mengutip cebisan tarbiah darinya.)

Telah ditakdirkan pada saya untuk melalui satu pengalaman yang unik. Maksudnya, bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman itu. Dan mungkin tidak ada siapapun yang mahu melaluinya sekalipun ditawarkan. Tetapi hidup adalah misteri yang sering memaksa kita menjangka sesuatu yang tidak dijangka. Saya telah ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Inilah detik hitam dalam hidup yang sama sekali tidak saya jangkakan.Setiap manusia pasti melalui saat itu. Bagaimana gah pun seseorang, pasti sekali dia ‘terkena’. Bahkan selalunya mereka yang pernah melalui saat seperti itulah yang akan berjaya. Sengatan peristiwa hitam sangat menyakitkan tetapi jika dapat dihadapi dengan baik ia menjadi seumpama suntikan imunasi yang menjadikan seseorang kebal dari sebarang kekecewaan. Ramai yang mula melonjak naik setelah ‘terkena’…. Bahkan sampai ada yang beranggapan, untuk menjadi manusia berjaya, seseorang mesti melalui satu peristiwa sangat pahit dalam hidupnya.Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh pegawai penyiasat ketika saya mula dibayangkan akan dihantar ke KEMTA (Kem Tahanan Kamunting). Waktu itu saya mula membayangkan hidup 2 tahun, terasing kesepian. Mampukah saya? Saya beristighfar berkali-kali. Namun pegawai penyiasat saya berkata, “rilekslah… baru kena 2 tahun. Bukannya hukum gantung.” Saya tak pasti apakah dia juga akan rileks kalau dia yang berada di tempat saya. Saya juga tidak pasti apakah dia bercakap untuk menasihati saya atau sekadar ingin menyedapkan hati saya…. Tetapi yang pasti saya mendapat satu kekuatan dan cabaran untuk menghadapi realiti setelah mendengar kata-katanya.

Mulai hari itu saya sudah mula membiasakan diri dengan nama Kamunting. Sedangkan sebelumnya, mengingatnya pun sudah semacam satu kengerian. Sebelum ke Kamunting, saya sudah dibayangkan keadaan, cara hidup, kemudahan dan ‘keselesaan’ hidup di sana. Bermacam-macam yang saya dengar. Boleh beli makanan yang bermacam-macam di kantin, boleh belajar, memasak, bermain dan ‘bersama’ isteri dalam jangka masa yang boleh dirundingkan. Wah, meriah sungguh hidup di Kamunting. Saya sudah menyediakan bermacam-macam rancangan ketika di sana nanti.

Seorang kawan ingin meneruskan pengajiannya secara jarak jauh. Seorang lagi ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dan Inggerisnya. Saya pula membayangkan untuk membawa peralatan komputer bersama dan boleh menulis sebanyak-banyaknya buku dengan bahan rujukan yang banyak di tempat yang selesa. Apatah lagi, dengar-dengarnya boleh membuat panggilan telefon kepada sanak-saudara, bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Lucunya ada seorang kawan berbangsa India dari Sarawak mendapat cerita bahawa di Kamunting ada “swimming pool” yang orang tahanan boleh berenang dan bersantai-santai di dalamnya.

Tapi… bila menjejak kaki di Kamunting, terbukti hampir tiga perempat cerita-cerita itu tidak benar lansung. Indah khabar dari rupa. Begitulah takdir yang saya temui di Kamunting. Keadaan di sana terlalu sunyi. Pergerakan terhad dan dikawal. “Kemunting Resort” tidaklah seindah yang dibayangkan oleh IO (pegawai penyiasat). Tapi hati saya tidaklah terlalu kecewa… memanglah tempat orang bersalah. Pastilah begitu keadaannya. Kalaulah selesa, cantik dan nyaman, tidak layaklah ia dijadikan tempat tahanan. Mungkin layak jadi tempat pelancongan.

Di situ, saya melalui kehidupan yang unik. Bayangkan, berbagai bangsa, agama dan budaya, ‘terkurung’ dalam satu kawasan terhad dan dipaksa menjalani tempoh ‘hukuman’ sebagai cara pendidikan untuk menginsafkan. Terlalu banyak yang saya belajar. Maha Suci Allah, yang terlalu kaya sifatnya hingga kasih sayang dan cinta-Nya dapat terus dirasai lewat kawat berduri. Dalam tahanan saya kerap berbincang dengan ramai orang Cina, India, Pakistan, Bangladesh, Madura, Serani dan lain-lain.

Pada masa yang banyak terluang, saya membaca buku-buku ‘antik’ yang masih tersimpan di perpustakaan Kamunting yang serba sederhana itu. Saya berkesempatan melihat catatan-catatan pensel pada novel-novel Melayu lama yang kebanyakannya dibuat oleh bekas tahanan Komunis. Tulisan dalam Bahasa Mandarin atau Inggeris yang begitu rapi walaupun beransur-ansur samar kerana semakin dimamah usia. Saya juga membaca luahan hati atau luapan semangat yang tercatat di muka surat tertentu. Walau apa pun saya kagum dengan kesungguhan mereka belajar.

Sejak “malam pertama” di Kamunting, yakni di bilik penerimaan (sebenarnya lokap) di Kawasan T1, saya sudah menulis. Kebetulan pada hari itu bekalan elektrik terputus, saya mula menulis di atas sampul surat berisikan perintah tahanan yang saya terima dari KDN sewaktu ditahan di Kuala Lumpur. Hanya sebuah sajak yang sarat dengan rintihan dan harapan. Baru seminggu kemudian ketika alat-tulis yang dipesan melalui keluarga sudah sampai dan juga buku catatan yang dibeli dari kedai tahanan, barulah saya menulis sedikit selesa dan mantap.

Saya mula membaca kitab Al Hikam oleh Ibnu Ataillah Askandari yang dihuraikan dengan baik oleh Prof. Dr. K.H Muhibbuddin Al Waly. Saya juga membaca Tafsir Al Azhar (HAMKA), Stop Worrying And Start Living oleh Dale Carnargie. Buku-buku yang lain payah didapati (perpustakan Kamunting perlu dipertingkatkan). Selain daripada itu saya mengulang kaji secara cepat buku Mauizatul Mukminin oleh Imam Ghazali. Ketika-ketika tertentu saya juga membaca buku-buku motivasi yang ditulis oleh penulis-penulis Barat yang kebanyakan dibaca oleh tahanan berbangsa Cina dan India. Untuk riadah saya mula membaca buku bagaimana bermain Ping Pong dengan baik.

Sayangnya, buku-buku itu ditulis dalam suasana eksklusif yang hanya dirasai oleh para penulisnya. Bagaimana ‘rasa’ daripada suasana itu mahu dipindahkan kepada manusia-manusia terkurung seperti kami? Kekadang ada yang naik geram, bila penulis mengesyorkan supaya orang yang bermasalah pergi melancong…. Tambah menderita kalau penulisnya mencadangkan supaya berbincang dengan isteri…. Bayangkan destinasi pelancongan di tempat tahanan ini? Dan mustahil dapat bebas bersama isteri ketika bertemu sekali-sekala dibatasi jaring-jaring besi….

Saya terpaksa berdepan dengan tahanan-tahanan ISA yang kebanyakannya tidak lagi mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi seperti dahulu. Kalau dahulu para tahanan terdiri daripada para intelek – Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Karpal Singh (sekadar menyebut beberapa nama) tetapi kini tahanan terdiri daripada buruh kasar, kuli kontrak, tukang gunting, pembawa teksi.. Namun manusia tetap unik…Mari saya kenalkan dengan seorang teman berbangsa Cina sewaktu sama-sama ditahan di Kamunting dahulu. Dia seorang positif dan cergas. Cheong (bukan nama sebenar) setiap awal pagi lagi telah bangun dan mula bersenam dengan disiplin Taicinya. Setelah mandi dan bersarapan pagi, dia mula belajar bahasa Inggeris dan kemudian mengajar bahasa Mandarin. Jadual waktu belajar, bermain, pakaian dan aktiviti hariannya terdisiplin dengan begitu rapi.

Jarang saya melihat dia susah hati. Kalau adapun cuma sekali-sekala terutama pada hari Sabtu. tidak mengenalinya dari dekat, saya tentu tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mempunyai banyak masalah. Pada suatu hari, dia telah dibenarkan pulang untuk satu masalah keluarga yang sangat “urgent”…. Daripada situ barulah rahsia dirinya tersingkap oleh saya (yang kebetulan rapat dengannya). Sebenarnya, dia mempunyai seorang ayah yang sedang nazak kerana penyakit barah. Perniagaan yang dikendalikan oleh isterinya pula sedang merosot akibat penahanannya. Anak lelakinya masih tertanya-tanya akan ‘kehilangan’nya.

Tetapi kawan saya itu tetap senang dan mampu gembira? Malah lebih gembira dari sesetengah kawan yang lain, yang kadang kala masalah-masalah mereka jauh lebih ringan daripadanya? Jawabnya… kerana kawan saya itu mengamalkan falsafah hidup yang betul. Dia selalu berkata, “apa guna risau-risau. Nanti sakit. Bila sakit, apa guna harta dan wang. Hari ini gua mahu senaman. Nanti gua mahu jumpa gua punya bini dan anak dengan badan kuat dan sihat. Kalau lu susah hati…. Talak makan, talak tidur, lu akan sakit. Kalau sakit nanti satu sen pun tak ada guna.”

Ramai kawan-kawan berbangsa Cina di kem tahanan yang mengamalkan falsafah mudah untuk mententeramkan hati mereka. Mereka selalu berkata, “jangan kita rugi dua tahun. Kita mesti untung dua tahun.” Pada mulanya saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tetapi kemudian saya faham maksud ‘ahli-ahli falsafah’ Kamunting itu. Di luar mereka tidak punya masa untuk bersenam, menjaga kesihatan dan menguruskan badan. Bahkan ada yang setiap malam minum arak dan berpelesiran hingga pulang jauh-jauh malam. Akibatnya, ramai yang kena penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan lain-lain lagi.

Tetapi bila ditahan, badan yang sakit mula sihat kembali hasil senaman, makan, tidur, baring dan lain-lain yang terkawal. Lebih-lebih lagi sentiasa mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan daripada pegawai perubatan (H.A) yang dikhaskan.Bagi mereka, pencapaian ini menguntungkan. Dengan badan yang sihat dan kuat terhasil semasa dua tahun ditahan, mereka lebih beruntung berbanding berada di luar dengan badan yang sakit-sakit dan lemah. Boleh jadi jika kesihatan terus diabaikan kematian pun boleh berlaku lebih cepat. Kalau begitu kan elok ditahan 2 tahun oleh ISA?

Di kem Kamunting, majoriti penghuninya mengalami tekanan perasaan. Walaupun tempoh tahanan dikatakan 2 tahun, tetapi tidak ada satu tarikh tetap untuk bebas. Berbanding dengan banduan yang “ditahan atas kesalahan jenayah”, tahanan ISA tidak pasti bila akan dibebaskan. Boleh jadi ditambah lagi…. Manusia menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya. Ketidak-pastian satu penyeksaan. Dalam keadaan-keadaan seperti itulah mereka sering dilanda kecewa. Mula-mula ditahan, terasalah diuji Tuhan… masing-masing mula “merapati” Tuhan. Bertaubat, minta ampun dan akhirnya minta segera dibebaskan. Namun kemudian, hati resah kenapa doa tidak terjawab? Apakah Tuhan mendengar rintihan ku? Apakah Tuhan tidak mengasihani ku? Begitulah bisik-bisik hati. Mulanya hanya melintas sesekali tetapi kemudiannya membengkak dan akhirnya menunggu masa untuk meledak.

Bila terjadi demikian, tekanan makin membebankan. Sebab-sebab yang kecil sahaja boleh menimbulkan pertengkaran yang sengit. Bayangkan sebab seketul ayam yang kecil waktu makan pun boleh menimbulkan pergaduhan. “Haiya… dulu luar punya jam rebut-rebut pasal ribu-ribu, juta-juta, sekarang pasal ayam pun boleh gaduh-gaduh….” Begitu rungut seorang teman berbangsa Tionghua. Apa lagi kalau menerima berita buruk daripada keluarga. Surat cerai, anak sakit, kesempitan hidup dan pelbagai berita negatif di luar. Ini boleh menggugat ketahanan jiwa orang tahanan jauh melepasi batas yang dapat ditanggung oleh mereka.

Takdir menentukan saya hidup di sana dan menjadikan saya seorang daripada mereka. Tekanan jiwa, bimbang, marah dan kecewa menjadi basahan hidup sejak hari pertama ditahan untuk disoal-siasat. Jeritan untuk bebas sering bergema dalam hati. Penahanan adalah berlawanan dengan fitrah manusia yang cintakan kebebasan. Namun, takdir mengatasi tadbir. Manusia tidak dapat lari dari ketentuan Tuhan. Yang tinggal hanyalah keupayaan tadbir untuk menerima takdir. Tetapi setiap takdir, pasti ada hikmahnya. Mencari hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku, akan menyebabkan kita tidak terlalu siksa menerima sesuatu yang buruk.

Pernah saya berbual dengan seorang teman dari Madura seusai solat berjemaah.
“Apa hikmahnya Pak Cik ditahan?” Tanya saya.
“Oh, banyak… kalau di luar mana sempat saya solat. Asyik berdangdut saja. Nanti-nanti main judi…. Kalau tidak berzina…” jawabnya mudah.
Seorang kawan berbangsa Pakistan pula ketika ditanya, menjawab, “Syukur. Kalau tak ditahan saya terus main perempuan. Minum-minum….”

Begitulah teman-teman saya, begitulah saya. Cuba mencungkil sebanyak-banyak hikmah. Alhamdulillah saya temui hikmah itu di Kamunting. Tiba-tiba sahaja saya rasa mendapat kekuatan baru. Sebagai penulis, bukankah masa yang begini panjang boleh dimanfaatkan untuk membaca dan menulis? Anda mungkin tidak percaya kalau dikatakan Kamunting adalah ’syurga’ bagi penulis. Saya mempunyai banyak masa di waktu siang untuk membaca buku, menyediakan catatan-catatan, menulis sajak, cerpen dan bahan pemikiran yang dirasakan penting.

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menulis. Sayangnya semacam satu hambatan (kalau tidak pun satu halangan) telah terjadi. Bagaimana saya betah menulis dengan tangan setelah sekian lama menggunakan L-top? Pada skrin komputer perenggan-perenggan tulisan boleh dialih-alihkan, kesalahan boleh dipadamkan dengan mudah dan tangan tidak lenguh memegang pena. Tentunya dalam bilik berhawa dingin pula. Tetapi semua itu mustahil di Kamunting, meja tulis terdiri daripada meja papan yang letaknya berdekatan dengan meja Ping Pong. Bangku panjang yang keras dan panas yang menyenggat. Peluh mengalir bersama aliran dakwat.

Saya juga kehilangan kawan-kawan di kalangan editor dan penulis. Bahan bacaan dan rujukan sangat terhad…. Rakan untuk ‘brain storming’ hampir-hampir tidak ada. Tiba-tiba saya tersedar, saya tidak boleh memandang rendah kepada kawan-kawan sekeliling. Mungkin mereka buruh kasar, tetapi selagi diberi akal tentu mereka mempunyai keistimewaan. Dan lagi, saya bertuah kerana semua mereka sedang menghadapi masalah…. Jadi tentu masing-masing ada cara untuk menghadapi masalah mereka. kenapa tidak dikutip kaedah-kaedah mereka itu? Bisik hati saya.

Ketika itulah saya sedar bahawa ‘kehilangan’ saya bukanlah satu kekurangan bahkan saya sedang menemui satu kekuatan baru yang jarang-jarang ditemui oleh orang lain. Saya sedar saya sedang mendapat latihan yang tidak ternilai kerana setiap hari saya terpaksa berdepan dengan OT (orang tahanan) yang bermacam-macam ragam. Ini sekolah bagi saya. Dan mereka semua adalah rakan yang perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah. Tentunya ini satu latihan praktikal yang yang jika berjaya dilaksanakan, akan memberi nyawa kepada tulisan saya nanti?

Ya, saya terus mencari hikmah, justeru yakin hikmahlah yang dapat menjadikan manusia yang lemah menjadi gagah. Saya bisikkan ke hati, ada di antara pengarang menulis dengan darahnya. Dengan tinta dan kertas yang diseludupkan secara curi-curi pula. Tetapi mereka lelaki sejati… terus menulis walau apa pun keadaan yang mereka hadapi. Akhirnya saya bersyukur bila sedar bahawa cara menghadapi masalah mestilah ditulis ketika kita berdepan dengan masalah. Barulah, ‘real’. Tentulah janggal misalnya, kalau ada penulis yang menulis tentang kemiskinan ketika enak-enak bersantai di banglo besar tanpa merasa sedebu pun bahang kemiskinan. Dan sinis sekali, akhirnya si penulis menjadi kaya hasil jualan bukunya tentang kemiskinan ketika si miskin yang menjadi bahan tulisan terus dalam kemiskinan….

Alhamdulillah, saya dapati masa-masa yang saya habiskan di meja tulis dalam tahanan Kamunting, adalah masa-masa ‘bahagia’ dalam tempoh derita itu. Malah kadang kala lebih bahagia daripada masa-masa yang saya alami di luar. Barulah saya sedar, bahawa hakikatnya ‘penjara hati’ adalah lebih sempit daripada mana-mana penjara di dunia. Berapa ramai orang bebas dan merdeka membunuh diri berbanding banduan yang meringkuk di penjara?

Usaha untuk memahami hikmah perlukan ilmu. Perjuangan untuk merasai hikmah perlukan iman. Jelaslah, bahawa apa jua masalah yang dihadapi oleh manusia mesti disalurkan kepada ibu sawat yang mengawalnya. Kembalikanlah segalanya kepada Tuhan. Justeru Allah mengajar manusia bahawa setiap kali mereka ditimpa masalah (ujian), maka ucapkan apa yang tertera di dalam Al Quran:
“Kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.”

Sebaik sahaja segala-galanya dikembalikan kepada Tuhan maka akan terserlah ribuan hikmah di sebalik ujian yang satu. Hikmah terbesar ialah lambaian kasih sayang Tuhan di sebalik setiap ujian. Agar manusia yang lupa, derhaka dan sombong itu kembali ingat, taat dan merendah diri kepada Pencipta-Nya. Hanya apabila dipisahkan daripada segala kecintaannya – isteri, anak-anak, saudara-mara dan teman-teman, barulah manusia terdorong mengingati Tuhan.

Di dalam tahanan, semua tempat pergantungan seolah-olah telah dicantas. Talian bumi ke bumi telah putus. Tetapi talian kepada Tuhan – Teman Daerah Tinggi (sepertimana sabda Rasulullah) makin terbuka. Hati kita seolah-olah dibisikkan bahawa Tuhan itu dekat, lambaian-Nya mesti dibalas. Dileburnya akal seluruh tadbir, untuk dilenturkannya hati sepenuh takdir. Saya teringat kata profesor Hamka ketika beliau ditahan selama 2 tahun 4 bulan dipenjara Indonesia. Katanya “di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang.”

Lalu atas kesedaran itulah saya menulis. Catatan ini bukan teori atau andaian tetapi hasil mengalami, merasai dan belajar di satu daerah yang unik dan asing. Di satu transisi yang jarum waktu seolah-olah diperlahankan dan penghuninya ‘terputus’ hubungan daripada dunia luar. Kini setelah beberapa lama berlalu, saya masih mampu mengimbau puputan angin dingin KEMTA, burung-burung gembala kerbau, serangga hitam berkulit tebal (istilah di Kemta: ‘Combat’) yang ‘menyerang’ waktu hujan, segar bunga kekwa, mekar bunga mawar, detakan mangga kunci pengawal waktu dinihari…

Oh, syukur saya ditakdirkan melalui saat itu. Saat yang paling mendidik dan menginsafkan. Kesibukan dunia bebas ke kadang terlalu bakhil untuk menghadiahkan waktu buat mengkoreksi kesilapan dan keaiban diri sendiri. Saya seorang yang penakut… Allah didik untuk saya berani melalui pengalaman yang “sakit” ini. Saya seorang yang sukar berdepan dengan “perpisahan”… Allah didik saya dengan perpisahan total ini. Saya seorang yang resah, Allah “sesah” saya dengan cemeti di daerah asing ini agar saya lebih tabah. Inilah “bunga dari Kamunting” yang pernah saya cium keharumannya. Hakikatnya, Tuhan telah ‘menahan’ saya… untuk membebaskan saya. Terima kasih ISA!

Untuk anda pembaca, yakinlah bahawa PENJARA JIWA itu lebih dahsyat dan mengikat daripada mana-mana penjara di dunia!

Dikirim dalam Tarbiyah | Label: , , , , , ,

4 ulasan:

  1. JAdi Mari sama - sama berjuang menentang kezaliman...!!!

    Ramai - ramai bersama - sama turun ke Kuala Lumpur 1 Ogos..!!!

    Islam tidak Iktiraf ISA...

    BalasPadam
  2. tulisan yang sangat menyentuh hati....

    BalasPadam
  3. ni yg watkan aku lagi anti ISA ni!

    BalasPadam
  4. Sabar sabar en. basuh baju. Sabar pun dah 49 tahun akta ni berjalan.

    Buat cikgu.... terima kasih kerana sudi membaca.

    BalasPadam