Pengikut

Khamis, 30 Julai 2009

Lagi kisah duka ISA.........

1 OGOS - MANSUH ISA

SUHAIMI SAID DITAHAN DIBAWAH ISA 1985 DAN DIBAWAH OPERASI LALANG 1987
===

1 OGOS - MANSUH ISA - 2 PTG -- SOGO, MASJID JAMEK, MASJID NEGARA, TO ISTANA NEGARA.


Parti-parti politik dan NGO akan turun beramai-ramai, suatu kebangkitan rakyat untuk memansuhkan ISA. HIMPUNAN MANSUH ISA, SABTU 1 OGOS.


Sebagai seorang insan yang sudah dua kali ditahan dibawah ISA, saya menyokong penuh, perhimpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) ini, dan saya bersyukur bahawa setelah berpuluh-puluh tahun ISA diluluskan akhirnya Rakyat menyedari bahawa Akta ini Zalim dan menzalimi.


Diperingkat awal Undang-Undang ini diperkenalkan, hanya segelintir manusia menyedari bahawa Undang-Undang ini akan digunakan bukan untuk menentang "komunis" dan keganasan, tetapi untuk menahan sesiapa sahaja yang dianggap berkesan meruntuhkan politik UMNO/Perikatan/BN.


Parti-parti politik yang menyedari hakikat ini iaitu Parti Rakyat Malaya dan Parti Boroh Malaya menjadi terpinggir dan parti-parti pembangkang yang lain termasuklah parti-parti yang ada didalam Pakatan Rakyat pada hari ini terpesona dengan ISA dan mereka turut menyokong ISA sehinggalah mereka mendapati pimpinan parti-parti mereka juga turut ditahan di bawah ISA.


Pada tahun 1985 apabila kali pertama saya ditahan dibawah ISA, Majlis Peguam telah mengeluarkan kenyataan bahawa Badan itu tidak mahu terlibat dengan penentangan terhadap ISA kerana mereka tidak mahu campur tangan didalam hal-ehwal politik. Bagi Majlis Peguam pada waktu itu, penahanan di bawah ISA tidak melibatkan isu hak asasi manusia, tetapi semata-mata isu politik.


Sebagai seorang peguam yang ditahan dibawah ISA, saya sangat dukacita dengan kenyataan Presiden Majlis Peguam pada waktu ini. Tetapi manusia itu telah berubah apakala pada tahun 1987 ramai ahli-ahli politik kelas 1 turut ditahan dibawah ISA termasuklah beberapa orang pimpinan tertinggi daripada DAP.


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seorang peguam muda pada waktu itu, Matthias Chang, telah berhujah didalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam, beliau menentang ISA dan memberikan sokongan kepada saya yang dikurung di Kem Tahanan Kamunting.


Pada hari ini sudah menjadi satu fesyen bagi peguam-peguam menentang ISA, dan bagi peguam-peguam yang masih menyokong ISA, bukan sahaja mereka itu terdiri daripada golongan yang kecil dan terpinggir, tetapi mereka itu adalah terdiri daripada konserbatif yang tidak sepatutnya mengambil guaman sebagai satu karier dan profession.


ISA itu zalim dan cara ianya dilaksanakan juga adalah zalim. Dua kali saya ditahan dibawah ISA dan lebihkurang 3 tahun merengkok di Kem Tahanan ISA, tidak ada pertuduhan khusus apakah kesalahan saya.


Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan kepada saya kesemuanya rekaan yang tidak ujud dan sesetengah pertuduhan itu sangat melucukan yang tidak ada kena mengena dengan "keselamatan negara".


Bahkan anak kecil saya pada waktu itu mengatakan Polis telah mencuri hartanya bila saya ditahan dibawah ISA kerana permainannya bernama TRANSFORMER telah diangkut oleh Polis kerana pada kertas pembalutnya ada tertulis: IRANFORMER, maklum anak saya yang baru pandai menulis, Transformer ditulis Iranformer.


Pada waktu itu, Kerajaan BN ini cukup takut kepada pengaruh Iran, Negara itu baru sahaja melakukan rebolusi menggulingkan Shah Iran digantikan dengan Kerajaan Rebolusi Islam.


Semasa dalam siasatan, seorang Ustaz telah dibawa kepada saya untuk berhujah dengan saya mengenai Agama Syiah, kononnya saya ni sudah memeluk fahaman Syiah. Setelah beberapa jam Ustaz itu "berceloteh mempertahankan Sunnah terhadap Syiah", dia pinta pandangan saya. Dan dia terperanjat "beruk" apabila saya katakan bahawa saya tak pernah belajar tentang Syiah, dan tak tahu apakah pembawaan Syiah.


Semata-mata kerana Polis telah "angkut" permainan anak saya yang ditulis dikulitnya Iranformer, maka tuduhan terhadap saya bahawa saya adalah penganut Syiah.


Saya juga dituduh mempertahankan minya sawit Malaysia dan menentang minyak kacang soya USA. Rupa-rupanya mempertahankan produk Negara juga menjadi satu kesalahan dibawah ISA.


Melucukan bahawa saya dituduh menentang Arab Saudi dan menyokong Iran didalam hubungan kedua-dua Negara itu terhadap Amerika Syarikat.


Saya juga dituduh bahawa saya "mengkafirkan" UMNO, dan apabila beberapa tape dimainkan semasa didalam siasatan itu, kesemuanya merekodkan bahawa saya mengatakan seperti berikut:


"Kami (PAS) tidak pernah mengatakan UMNO itu kafir, dan kami mengajak ahli-ahli UMNO supaya menyertai PAS untuk memperjuangkan Islam."


Namun begitu, lucu atau tidak, mereka telah membuat keputusan untuk saya ditahan di Kamunting.


Apakah sebab sebenarnya? Sejak beberapa tahun, saya bergerak didalam rancangan-rancangan Felda diseluruh Negara dikalangan peneroka-peneroka Felda dan berjaya mengajak mereka supaya menuntut hak mereka khususnya berhubung dengan Suratan Hakmilik Individu apabila mereka telah berjaya menjelaskan hutang mereka dengan Felda.


Apa yang tercatat didalam Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda, ialah Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya mengeluarkan Suratan Hakmilik kepada kumpulan 20 orang peneroka diatas nama Koperasi apabila peneroka-peneroka berjaya menjelaskan hutang mereka kepada Felda.


Peneroka-peneroka menuntut Suratan Hakmilik Individu, tuntutan ini menjadi tuntutan yang sangat popular dikalangan peneroka-peneroka pada tahun 1980-an, dan sejajar dengan itu juga, saya berjaya menubuhkan cawangan-cawangan PAS dikebanyakan rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara.


Saya telah pergi ke seluruh rancangan Felda di seluruh Negara dari Perlis ke Johor dan dari Joohor ke Kelantan, dan dapat menyaksikan penghijrahan beramai-ramai ahli-ahli UMNO kedalam PAS.


Itulah sebenarnya ancaman iaitu ancaman kepada UMNO yang kehilangan sokongan di rancangan-rancangan Felda, iaitu tapak semaian UMNO sebagai pertahanan terakhirnya bagi mendapatkan sokongan Orang-Orang Melayu.


Saya ditahan dibawah ISA didalam tempoh beberapa hari sahaja lagi suatu Seminar Peneroka-Peneroka Felda Kebangsaan secara besar-besaran yang hendak diadakan di Darul Amin, Temerloh, dan dijangka tidak kurang dari 5000 orang pemimpin-pemimpin peneroka Felda akan menghadirkan diri kedalam Seminar tersebut.


Itulah punca sebenarnya saya ditahan dibawah ISA, dan bukan masalah ancaman kepada keselamatan Negara.


Dan itulah sebenarnya operasi ISA tersebut iaitu mahu mengekang tuntutan keadilan rakyat untuk demokrasi, bukan untuk keselamatan dalam negeri.


1 Ogos - saya menyokong penuh perhimpunan bagi memansuhkan ISA!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan